Pages

August 14, 2009

Kerana Nila Setitik Rosak Susu Sebelanga



Salam.

Hari ni Risham nak memperbincang peribahasa di atas yang saya jadikan tajuk. Perbincangan kali ini akan meliputi apa maksud peribahasa tersebut dan apa pengajaran yang boleh kita dapat daripadanya. Sebagai amaran awal, apa yang bakal saya taip adalah terjemahan saya sendiri. Ia tiada kaitan dengan mana-mana sarjana di Malaysia yang pernah menulis atau mengulas peribahasa tersebut dengan apa cara sekalipun, sama ada dalam kelas, ucapan, blog dan sebagainya.

Baiklah. Kita mulakan. Maksud peribahasa tersebut ialah kerana kesilapan, kecacatan atau kejahatan sesuatu yang kecil, habis seluruh keluarga, kumpulan, atau organisasi akan dipandang silap, cacat atau jahat. Ianya sedemikian rupa kerana apabila nila telah masuk atau bercampur dengan susu, warna susu tersebut akan berubah sedikit dan sudah tentu ia tidak dapat lagi di jual di pasar-pasar siang atau malam, mahupun kedai-kedai. Secara logik akalnya, tiada siapa yang mahu meminum susu yang sudah rosak walaupun pada asalnya susu tersebut tidak rosak, cuma tercampur dengan nila.

Peribahasa ini sering dijadikan sebagai satu ingatan kepada anak-anak muda supaya jangan bertindak bodoh, kelak seluruh keluarga menanggung malu. Ia juga kerap kali digunakan unutk tujuan yang sama, kepada murid-murid sekolah dan ahli masyarakat. Tetapi, pernahkah anda terfikir yang kemungkinan peribahasa ini dicipta bukan sekadar peringatan, tetapi juga sebagai pengajaran? Mari kita lihat mengapa saya berkata demikian.

Kalau kita lihat keadaan negara kita sekarang, ramai yang sudah berpelajaran tinggi. Ramai yang tampil secara sukarela untuk membantu membangunkan negara. Ramai yang membawa teknologi baru, teknik baru, malah ideologi baru untuk kita praktikkan bersama. Risham bukan mengatakan mereka tidak bagus. Idea-idea baru yang kita lihat sekarang amat bernas. Risham sendiri tidak pernah terfikir untuk berbuat demikian. Cuma, kalau pelajaran yang lama masih belum betul, bagaimana hendak menerima yang baru?

Begini. Apabila orang A membuat kesalahan, pihak lawan, kumpulan kepada orang Z akan marah. Begitu juga sebaliknya. Peribahasa tersebut bukan saja mengingatkan kita bahawa jangan jadi nila itu, tetapi kita juga hendaklah mengelak daripada menjadi orang yang melihat susu itu rosak kerana nila yang setitik. Mentaliti seperti ini harus dihindari. Kita namakan orang yang melihat susu itu rosak kerana nila setitik sebagai orang L.

Kini, kalau kita lihat situasi politik negara, rakyat sudah mula sedar akan tanggungjawab mengundi yang mereka miliki sejak dari dulu lagi. Tetapi, adakah kita, sebagai pengundi, menggunakannya sebaik mungkin? Pada saya, mengundi parti adalah satu tindakan yang kurang bijak. Kita mahukan orang yang betul-betul komited dengan kerjaya yang dipilih. Bukan parti.

Berbalik kepada perihal maksud peribahasa tadi. Sebenarnya, kita sudah menjadi orang N. Dalam memilih pemimpin, kita mestilah memilih pemimpin yang betul-betul komited dengan kerjanya, iaitu berkhidmat unutk rakyat setempat. Sebagai wakil kepada masyarakat setempat.
Jadi, secara ringkasnya, kita memilih pemimpin yang buat kerja dengan betul. Bukan yang makan gaji buta.

Tetapi, apa yang Risham lihat sekarang ialah kita semakin taksub dengan parti-parti yang ada. Hanya kerana pemimpin yang korup itu dari parti A, kita benci kepada seluruh parti A. Nah, kita dah jadi orang L! Apabila kita sudah menjadi golongan L, maka kita taklah sehebat mahupun sebetul mana. Kerana, tidak semestinya seluruh parti A itu korup. Kita seharusnya berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan.

Sebagai penutup, sekali lagi ingin Risham tekankan di sini bahawa segala yang tecatat dalam artikel ini adalah buah fikiran Risham semata-mata ; tanpa ada pengaruh daripada mana-mana pihak sekalipun. Nama-nama yang digunakan juga tiada kaitan dengan yang mati atau yang masih hidup. Ia sekadar contoh semata-mata.

Sekian.

No comments: